Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:” Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain.” Riwayat Ahmad
Huraian :
1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.
2. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya.” – (Al-Israk: 30).
3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.
4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.